Koordinasi dan Gerak Balas dalam Manusia
Diabetes melitus Pesakit diabetes melitus mempunyai aras glukosa darah yang tinggi. Diabetes melitus berlaku disebabkan oleh penghasilan insulin yang tidak mencukupi atau kegagalan sel badan untuk bertindak balas terhadap insulin yang dirembes. Pesakit mempunyai gejala seperti poliuria (kerap buang air kencing), polidipsia (sentiasa haus), polifagia (sering lapar), penglibatan kabur dan luka lambat sembuh. Sementara itu, hipoglisemia berlaku apabila aras glukosa darah menjadi sangat rendah. Pesakit hipoglisemia selalu lesu, emosinya tidak stabil dan sukar tidur pada waktu malam.
Diabetes insipidus Diabetes insipidus berlaku disebabkan oleh kegagalan lobus posterior kelenjar pituitari untuk merembes hormon antidiuresis (ADH). Akibatnya, pesakit menyingkirkan air kencing yang banyak dan sentiasa berasa haus. Ini akan menyebabkan penyahhidratan jika tidak minum air yang mencukupi.
Hipotiroidisme Hipotiroidisme berlaku disebabkan oleh tiroksina (hormon tiroid) yang tidak mencukupi. Pesakit akan mengalami simptom seperti kelesuan, berat badan meningkat, sensitif terhadap kesejuan dan bradikardia.
Hipertiroidisme Hipertiroidisme pula berlaku apabila tiroksina berlebihan dihasilkan. Ini akan mengakibatkan kehilangan berat badan, tidak tahan panas, aritmia atau takikardia dan mudah marah. Kelenjar tiroid boleh membesar sehingga 2 ke 3 kali lebih besar daripada saiz normalnya.
Kegergasian dan Kekerdilan Kegergasian disebabkan oleh rembesan hormon pertumbuhan (GH) yang berlebihan dan mengakibatkan tulang menjadi sangat panjang. Individu akan kelihatan sangat tinggi atau gergasi. Sebaliknya, kekerdilan pula merupakan perawakan pendek kerana rembesan GH yang sangat rendah. Akibatnya, mereka mempunyai perkembangan yang tidak normal.
Answer practice questions to test your knowledge
Join our community on Whatsapp!