Pengangkutan dalam Manusia dan Haiwan

10.4 - Mekanisme Pembekuan Darah

Keperluan Mekanisme Pembekuan Darah

Apabila anda terpotong sendiri secara tidak sengaja, salur darah akan pecah dan luka anda akan mula berdarah. Selepas seketika, pendarahan itu akan berhenti kerana proses pembekuan darah. Pembekuan darah ialah satu mekanisme badan yang membantu menghentikan atau meminimumkan kehilangan darah daripada salur darah terluka. Mekanisme ini mempunyai beberapa fungsi penting seperti:

  • Menghalang kehilangan darah yang serius
  • Mengekalkan tekanan darah yang normal
  • Mengekalkan peredaran darah dalam badan
  • Menghalang kemasukan mikroorganisma dan bahan asing ke dalam badan

Mekanisme Pembekuan Darah

Mekanisme pembekuan darah melibatkan satu siri tindak balas biokimia dalam darah untuk mengelakkan pendarahan berlebihan selepas sesuatu kecederaan.

Rajah 14

Rajah 14 - Apabila salur darah terluka, platlet tergumpal, sel rosak dan faktor pembeku akan membentuk trombokinase. Trombokinase akan menukar protrombin kepada trombin dengan bantuan ion kalsium dan vitamin K. Trombin kemudian memangkinkan penukaran fibrinogen kepada fibrin. Fibrin membentuk jaringan pada permukaan luka untuk menjerat sel darah merah dan menutup luka tersebut. Gumpalan darah yang dihasilkan mengeras apabila terkena udara untuk membentuk kudis.

Isu Kesihatan yang Berkaitan Pembekuan Darah

Kecacatan dalam mana-mana langkah proses pembekuan darah akan mengakibatkan masalah gangguan pembekuan darah. Gangguan tersebut termasuk hemofilia, trombosis dan embolisme.

  • Hemofilia
    • Penyakit keturunan di mana darah tidak beku secara normal.
    • Kekurangan gen untuk penghasilan faktor pembeku tertentu.
    • Boleh mati disebabkan kehilangan darah berlebihan, walaupun hanya luka yang ringan.
    • Boleh mengalami pendarahan dalaman secara spontan, walaupun tiada kecederaan yang berlaku.
  • Trombosis
    • Merujuk kepada pembentukan darah beku dalam salur darah yang tidak terluka.
    • Beku darah tersebut dipanggil trombus.
    • Trombosis boleh disebabkan oleh kerosakan dalam salur darah atau pengaliran darah yang terlalu perlahan.
  • Embolisme
    • Kadang-kala, trombus boleh menepis dan bergerak dalam saluran darah.
    • Pergerakan darah yang beku ini dipanggil embolus.
    • Embolus boleh menahan pengaliran darah dalam arteri yang sempit.

Answer practice questions to test your knowledge

Join our community on Whatsapp, Telegram and Discord!

WeAcademia Sdn Bhd © 2024