Pengangkutan dalam Manusia dan Haiwan

10.1 - Jenis Sistem Peredaran

Keperluan Sistem Pengangkutan Organisma Multisel Kompleks

Semua organism hidup memerlukan pertukaran bahan keperluan seperti nutrien, bahan buangan dan gas respirasi secara berterusan untuk hidup. Pertukaran bahan-bahan ini selalunya berlaku melalui resapan. Namun begitu, dalam organisma multisel, proses resapan sahaja tidak memenuhi bekalan oksigen dan nutrien yang mencukupi kepada sel-sel kerana

  • Nisbah JLP/I yang rendah, dan
  • Jarak persekitaran luar dari sel terlalu jauh

Jadi, organisma ini memerlukan sistem peredaran darah untuk mengangkut nutrien, oksigen dan juga bahan-bahan sisa.

Jenis-jenis Sistem Peredaran dalam Organisma Multisel

Sistem peredaran darah dalam organisma boleh dibahagikan kepada dua:

  • Sistem peredaran terbuka
  • Sistem peredaran tertutup

Rajah 1

Rajah 1 - Dalam sistem peredaran terbuka (kiri), hemolimfa dipam terus ke dalam hemoselom yang mengandungi sel-sel badan. Dalam sistem peredaran tertutup (kanan) pula, darah mengalir secara berterusan dalam jantung dan salur darah. Pertukaran bahan berlaku melalui dinding kapilari darah.

Rajah 2

Rajah 2 - Serangga mempunyai sistem peredaran terbuka. Satu atau lebih jantung mengepam hemolimfa ke dalam hemoselom. Apabila jantung mengecut, hemolimfa mengalir dari jantung ke dalam hemoselom. Pertukaran bahan antara hemolimfa dan sel badan berlaku di sini. Apabila jantung mengendur, hemolimfa didorong balik ke jantung melalui liang seni yang dipanggil ostium.

Rajah 3

Rajah 3 - Ikan mempunyai satu jantung yang terdiri daripada satu atrium dan satu ventrikel. Darah yang meninggalkan ventrikel akan dipam ke kapilari insang dahulu untuk pertukaran gas. Kapilari insang mengangkut darah beroksigen ke kapilari sistemik. Dalam kapilari sistemik, oksigen meresap ke dalam tisu manakala karbon dioksida meresap dari tisu ke kapilari. Oleh sebab darah mengalir dalam satu hala sahaja, sistem ini dipanggil sistem peredaran tunggal.

Rajah 4

Rajah 4 - Amfibia seperti katak mempunyai satu jantung yang terdiri daripada dua atrium dan satu ventrikel. Darah terdeoksigen memasuki atrium kanan manakala darah beroksigen masuk ke dalam atrium kiri. Darah mengalir dalam ke ventrikel yang sama. Di sini, terdapat campuran antara darah terdeoksigen dan darah beroksigen. Walaupun demikian, darah beroksigen cenderung kekal di sebelah ventrikel kiri manakala darah terdeoksigen cenderung kekal di sebelah ventrikel kanan. Ventrikel mengepam darah ke peredaran pulmokutaneus dan peredaran sistemik. Oleh kerana darah mengalir dalam 2 litar berasingan, sistem ini dikenali sebagai sistem peredaran ganda dua.

Rajah 5

Rajah 5 - Manusia mempunyai satu jantung yang terdiri daripada dua atrium dan dua ventrikel berasingan. Dalam peredaran pulmonari , darah terdeoksigen di ventrikel kanan dipam ke arteri pulmonari dan seterusnya ke peparu untuk pertukaran gas. Dalam peredaran sistemik , darah dipam dari jantung ke seluruh bahagian badan yang lain. Darah beroksigen mengalir ke dalam ventrikel kiri untuk dipam ke kapilari sistemik melalui aorta. Oleh kerana terdapat 2 peredaran yang berbeza, sistem ini dipanggil sistem peredaran ganda dua yang lengkap.

Perbandingan antara Serangga, Ikan, Amfibia dengan Manusia

  • Persamaan
    • Ada dalam semua organisma multisel
    • Terdiri daripada satu jantung yang mengepam darah ke seluruh badan atau hemolimfa (serangga)
    • Berfungsi mengangkut nutrien dan produk sisa
    • Jantung mempunyai injap untuk menghalang pengaliran darah ke belakang
  • Perbezaan
    • Serangga
      • Jenis sistem peredaran: Sistem peredaran darah terbuka
      • Pengasingan darah beroksigen dengan darah terdeoksigen: -
      • Bilangan peredaran: -
      • Bilangan ruang jantung: Banyak
    • Ikan
      • Jenis sistem peredaran: Sistem peredaran darah tertutup
      • Pengasingan darah beroksigen dengan darah terdeoksigen: -
      • Bilangan peredaran: Tunggal (darah mengalir melalui jantung dalam satu peredaran lengkap)
      • Bilangan ruang jantung: Dua (satu atrium dan satu ventrikel)
    • Amfibia
      • Jenis sistem peredaran: Sistem peredaran darah tertutup
      • Pengasingan darah beroksigen dengan darah terdeoksigen: Tidak lengkap (darah beroksigen bercampur dengan darah terdeoksigen)
      • Bilangan peredaran: Ganda dua (darah mengalir melalui jantung sebanyak dua kali dalam satu peredaran lengkap)
      • Bilangan ruang jantung: Tiga (dua atrium dan satu ventrikel)
    • Manusia
      • Jenis sistem peredaran: Sistem peredaran darah tertutup
      • Pengasingan darah beroksigen dengan darah terdeoksigen: Tidak lengkap (darah beroksigen bercampur dengan darah terdeoksigen)
      • Bilangan peredaran: Ganda dua
      • Bilangan ruang jantung: Empat (dua atrium dan dua ventrikel)

Answer practice questions to test your knowledge

Join our community on Whatsapp!

WeAcademia Sdn Bhd © 2024