Nutrisi dan Sistem Pencernaan Manusia

9.4 - Asimilasi

Peranan Sistem Peredaran

Asimilasi merujuk kepada proses pembentukan sebatian atau komponen struktur kompleks. Sebahagian produk pencernaan diangkut terus ke hati melalui vena portal hepar untuk diproses dan digunakan untuk proses metabolik atau asimilasi. Lakteal membawa lipid dan vitamin larut dalam lipid yang memasuki saluran limfa kanan dan duktus toraks sebelum mengalir ke dalam vena subklavikel.

Fungsi Hati dalam Asimilasi Makanan Tercerna

Hati merupakan pusat kawal atur yang mengawal kuantiti nutrien yang masuk ke dalam sistem peredaran darah. Terdapat 3 fungsi penting yang dijalankan oleh hati.

  • Metabolisme makanan tercerna
    • Glukosa diperlukan untuk respirasi sel.
    • Asid amino digunakan untuk membuat protein dan enzim yang diperlukan oleh badan
  • Penyahtoksinan
    • Bahan toksik dalam darah disingkirkan.
    • Toksin, racun perosak, karsinogen dan racun merupakan bahan toksik yang perlu disingkirkan dari badan.
  • Penyimpanan nutrien
    • Glukosa berlebihan ditukar menjadi lemak di dalam hati dan disimpan di bahagian lain dalam badan.
    • Hati menyimpan vitamin larut dalam lipid (A, D, E, K), vitamin B12 dan ferum dari hemoglobin.

Rajah 5

Rajah 5 - Pengangkutan nutrien dan asimilasi di dalam hati dan sel badan.

Proses asimilasi dalam hati

Asid amino

  • Hati menggunakan asid amino untuk membuat protein plasma dan enzim.
  • Asid amino berlebihan tidak boleh disimpan dan akan diuraikan melalui proses pendeaminaan.
  • Jika kekurangan glukosa, hati akan menukar asid amino kepada glukosa.

Glukosa

  • Penting untuk respirasi sel.
  • Glukosa berlebihan disimpan di dalam hati.
  • Jika simpanan glikogen penuh, glukosa akan ditukar kepada lemak.
  • Apabila aras glukosa dalam darah menurun, hati akan menukar glikogen kepada glukosa.

Asimilasi dalam sel

Asid amino

  • Digunakan untuk membuat protoplasma baharu.
  • Digunakan untuk membaiki tisu rosak.
  • Komponen asas untuk sintesis hormon dan enzim.

Glukosa

  • Substrat utama dalam respirasi sel.
  • Tenaga digunakan oleh sel untuk proses hidup yang lain.
  • Glukosa berlebihan disimpan sebagai glikogen dalam otot.

Lipid

  • Fosfolipid dan kolesterol merupakan komponen utama membran plasma.
  • Lipid berlebihan disimpan dalam adipos sebagai tenaga simpanan.
  • Apabila glukosa menjadi kurang, lemak akan dioksidakan untuk menghasilkan tenaga.

Answer practice questions to test your knowledge

Join our community on Whatsapp!

WeAcademia Sdn Bhd © 2024