Pembiakan Seks, Perkembangan dan Pertumbuhan dalam Manusia dan Haiwan

15.3 - Kitar Haid

Peranan Hormon dalam Kitar Haid

Kitar haid merupakan satu kitaran perubahan yang berlaku di uterus endotelium untuk menyediakan keadaan sesuai untuk perkembangan ovum yang telah disenyawakan. Endometrium kaya dengan salur darah untuk penempelan embrio. Sekiranya persenyawaan tidak berlaku, oosit sekunder akan mati dan endometrium akan terurai. Pembuangan darah, tisu epitelium, dan mukus melalui faraj dipanggil haid.

Hormon, Kelenjar dan Fungsi

  • Hormon perangsang folikel (FSH)
    • Kelenjar pituitari
      • Merangsang perkembangan folikel dalam ovari.
      • Merangsang penghasilan estrogen.
  • Hormon peluteinan (LH)
    • Pituitary gland
      • Merangsang proses ovulasi.
      • Merangsang perkembangan korpus luteum.
      • Menggalakkan rembesan progesteron.
  • Estrogen
    • Ovari
      • Merangsang perkembangan folikel sehingga mencapai kematangan.
      • Menggalakkan pembaikan dan penebalan endometrium.
      • Merangsang rembesan FSH dan LH sebelum proses ovulasi.
  • Progesteron
    • Ovari
      • Merangsang penebalan endometrium untuk menyediakan penempelan embrio.
      • Menghentikan rembesan FSH dan LH untuk menghalang perkembangan folikel Graaf dan proses ovulasi.

Rajah 7

Rajah 7 - Urutan aktiviti dalam kitaran haid dan ovari.

  • HARI 0 -5
    • Ketiadaan hormon estrogen dan progesteron menyebabkan dinding endometrium terurai dan haid berlaku. Sehari sebelum haid, hormon perembes gonadotrofin (GnRH) yang dirembes oleh hipotalamus merangsang rembesan hormon FSH dan LH ke dalam darah. Hormon FSH menggalakkan perkembangan folikel dalam ovari. Oosit primer berkembang menjadi oosit sekunder dalam folikel Graaf. Folikel-folikel yang sedang berkembang menghasilkan hormon estrogen yang akan merangsang pembaikan dan pemulihan dinding uterus. Hormon estrogen juga menggalakkan perkembangan berterusan folikel. Aras hormon estrogen yang rendah merencatkan perembesan hormon FSH dan LH melalui mekanisme suap balik negative untuk menghalang perkembangan folikel baharu.
  • HARI 6 - 14
    • Aras hormon estrogen meningkat dan memuncak pada hari ke-12. Ini merangsang rembesan hormon GnRH dari hipotalamus melalui mekanisme suap balik positif. Aras hormon GnRH yang tinggi akan menggalakkan rembesan hormon FSH dan LH. Aras hormon LH meningkat dan memuncak pada hari ke-13 dan merangsang proses ovulasi dari folikel Graaf pada hari ke-14. Hormon LH juga merangsang folikel yang tinggal untuk membentuk korpus luteum.
  • HARI 15 - 21
    • Korpus luteum merembes hormon estrogen dan progesteron apabila dirangsang oleh hormon LH. Hormon estrogen dan progesteron menghalang rembesan hormon FSH dan LH dari hipotalamus melalui mekanisme suap balik negative. Ini menghalang perkembangan lebih banyak folikel dan proses ovulasi. Hormon progesteron merangsang dinding uterus untuk menjadi tebal, berlipat-lipat dan kaya dengan salur darah untuk penempelan embrio .
  • HARI 22 - 28
    • Sekiranya persenyawaan tidak berlaku, aras hormon LH yang rendah yang menyebabkan korpus luteum merosot. Ini mengakibatkan aras hormon estrogen dan progesteron jatuh. Ketiadaan rangsangan hormon estrogen dan progesteron menyebabkan dinding uterus luruh dan haid berlaku. Aras hormon estrogen dan progesteron yang rendah tidak lagi merencat hipotalamus dan kelenjar pituitari. Oleh itu, hormon GnRH dirembes semula dari hipotalamus dan merangsang rembesan hormon FSH dan LH. Satu kitaran baharu bermula dengan perkembangan folikel baharu. Namun sekiranya persenyawaan berlaku, korpus luteum tidak akan merosot. Aras hormon estrogen dan progesteron terus meningkat. Dinding uterus akan berkembang dan membekalkan nutrient untuk perkembangan embrio.

Peranan Hormon dalam Kehamilan dan Keguguran

  1. Penghasilan hormon estrogen dan progesteron dari korpus luteum akan berterusan selepas kehamilan selama 3 hingga 4 bulan. Apabila korpus luteum merosot, penghasilan ini dilakukan oleh plasenta sehingga bayi dilahirkan.
  2. Hormon progesteron menghentikan rembesan hormon FSH dan LH supaya proses ovulasi tidak berlaku semasa kehamilan.
  3. Ketidakseimbangan aras hormon estrogen dan progesteron yang mengakibatkan keguguran. Aras hormon progesteron yang berkurang akan menyebabkan pengecutan uterus.

Sindrom Prahaid dan Sindrom Putus Haid

Sindrom prahaid merupakan satu gangguan kitaran dari segi fizikal, mental dan emosi. Gejala sindrom prahaid biasanya kelihatan antara 5 hingga 11 hari sebelum hari pertama haid. Faktor sindrom haid boleh disebabkan oleh ketidakseimbangan aras hormon estrogen dan progesteron.

Sindrom putus haid pula berlaku apabila kitaran haid berhenti. Putus haid berlaku dalam kalangan wanita berumur dalam lingkungan usia 46 hingga 50 tahun apabila ovari kurang dirangsang oleh hormon FSH dan LH. Pada peringkat ini, proses ovulasi berhenti dan individu tersebut tidak lagi berupaya untuk mengandung.

Answer practice questions to test your knowledge

Join our community on Whatsapp!

WeAcademia Sdn Bhd © 2024