Pembiakan Seks dalam Tumbuhan Berbunga

6.2 - Pembentukan Debunga dan Pundi Embrio

Pembentukan Debunga dalam Anter

Anter merupakan bahagian bunga yang menghasilkan debunga.

Rajah 2

Rajah 2 - Proses pembentukan debunga. 1. Semasa anter berkembang, sekelompok tisu juga tumbuh dalam setiap lobul untuk membentuk empat pundi debunga. Terdapat beratus-ratus sel induk debunga atau sel induk mikrospora diploid (2n) dalam setiap pundi debunga. 2. Sel induk ini akan membahagi secara meiosis dan menghasilkan empat sel mikrospora haploid(n). Empat sel ini dipanggil tetrad. Setiap sel dalam tetrad akan berkembang membentuk debunga. 3. Nukleus debunga akan membahagi secara mitosis dan menghasilkan sel dengan dua nukleus, iaitu nukleus penjana dan nukleus tiub. Dinding kantung debunga akan pecah apabila matang dan membebaskan debunga.

Pembentukan Pundi Embrio dalam Ovul

Ovul merupakan struktur yang terdapat dalam karpel. Ovul terbentuk daripada selapis tisu dalam ovari. Satu ovari boleh mengandungi satu atau lebih ovul. Ovul melekat pada dinding ovari melalui funikel. Tempat pelekatan funikel ke ovari dipanggil plasenta. Plasenta berfungis membekalkan nutrien kepada ovul melalui funikel. Sekelompok tisu dalam ovari membentuk nuselus yang terdiri daripada tisu parenkima. Tisu nuselus akan berkembang dan membentuk dua lapisan yang dipanggil integumen. Mikropil ialah satu bukaan kecil yang terletak di hujung integumen. Mikropil membolehkan kemasukan udara dan air ke dalam biji benih semasa percambahan. Salah satu sel nuselus yang dipanggil sel induk megaspora atau sel induk pundi embrio akan berkembang menjadi pundi embrio.

Rajah 3

Rajah 3 - Struktur ovul.

Rajah 4

Rajah 4.

  1. Sel induk megaspora (2n) mengalami pembahagian secara meiosis untuk menghasilkan empat sel megaspora haploid (n).
  2. Hanya satu sel megaspora akan berkembang manakala tiga yang lain akan merosot.
  3. Nukleus dalam sel megaspora yang berkembang akan membahagi secara mitosis sebanyak tiga kali untuk menghasilkan sel dengan lapan nukleus.
  4. Tiga nukleus akan bergerak ke hujung pundi embrio untuk membentuk tiga sel antipodal. Tiga lagi akan bergerak ke hujung yang bertentangan untuk membentuk dua sel sinergid dan satu sel telur. Dua nukleus di tengah pundi embrio akan membentuk nukleus kutub.

Answer practice questions to test your knowledge

Join our community on Whatsapp, Telegram and Discord!

WeAcademia Sdn Bhd © 2024