Kelestarian Alam Sekitar

10.4 - Teknologi Hijau

Definisi Teknologi Hijau

Teknologi hijau merupakan usaha pemeliharaan alam semula jadi melalui pembangunan dan aplikasi produk, peralatan dan sistem bagi meminimumkan kesan buruk aktiviti manusia.

Penggunaan Teknologi Hijau dalam Melestarikan Alam

Dasar Teknologi Hijau Negara (2009) mementingkan pembangunan mampan dan pertumbuhan ekonomi negara tanpa mengabaikan keperluan generasi akan datang. Dasar ini adalah berasaskan 4 tonggak iaitu tenaga, alam sekitar, ekonomi dan sosial. Mengikut DTHN, sebarang produk, peralatan atau sistem yang memenuhi kriteria seperti di bawah akan dikategorikan sebagai teknologi hijau.

  • Meminimumkan degradasi alam sekitar
  • Pembebasan gas rumah hijau rendah atau sifar
  • Selamat digunakan dan menyediakan persekitaran sihat dan optimum untuk semua hidupan
  • Menjimatkan tenaga dan sumber asli
  • Menggalakkan penggunaan sumber yang boleh diperbaharui

Teknologi hijau menggalakkan masyarakat untuk mempraktikkan amalan melestarikan alam sekitar dan cara hidup yang baik. Contoh-contoh amalan berkonsepkan teknologi hijau yang boleh dipraktikkan adalah:

  • Membuat ekoenzim sendiri daripada sisa buah-buahan sebagai agen pembersih.
  • Menghasilkan baja semula jadi dengan menggunakan sisa dapur dan sisa makanan.
  • Menghasilkan biogas daripada sisa pepejal organik.
  • Menghasilkan tepung daripada kulit pisang untuk dijadikan bahan pembuatan bioplastik semula jadi.
  • Membuat cecair baja foliar dengan menggunakan sisa dapur untuk pertumbuhan daun tanaman.

Aplikasi Sains Sosial untuk Menyelesaikan Masalah dan Cabaran Alam Sekitar

Pendidikan

Pendidikan merupakan satu bidang sains sosial penting untuk membentuk kualiti hidup sejahtera. Pendidikan Alam Sekitar telah diperkenalkan untuk menanam kepekaan dan sikap ambil berat terhadap alam sekitar dan masalah-masalah yang berkaitan dengannya.

  • Objektif Pendidikan Alam Sekitar
    • Meningkatkan kesedaran semua terhadap keadaan alam sekitar dan masalahnya
    • Mendidik orang ramai tentang alam sekitar, peranan, masalah dan tanggungjawab setiap individu
    • Mendapat kemahiran untuk menyelesaikan masalah alam sekitar
    • Menanam sikap ambil berat tentang alam sekitar dan sanggup melindungi dan memajukannya

Selain itu, komunikasi juga merupakan bidang sains sosial yang memainkan peranan penting dalam menyebarkan isu-isu tentang alam sekitar. Penggunaan media massa, risalah, majalah, poster dan filem boleh memberi kesedaran kepada orang ramai tentang masalah alam sekitar. Pelbagai jenis aktiviti boleh dianjurkan seperti kempen kesedaran, aktiviti gotong-royong, pertandingan kebersihan dan keceriaan taman boleh diadakan untuk mempromosikan amalan penjagaan alam sekitar.

Answer practice questions to test your knowledge

Join our community on Whatsapp!

WeAcademia Sdn Bhd © 2024