Pembahagian Sel
Meiosis ialah proses pembahagian sel yang mengurangkan bilangan kromosom dalam sel anak kepada separuh berbanding dengan bilangan kromosom dalam sel induknya. Meiosis menghasilkan gamet haploid melalui proses gametogenesis. Semasa pembiakan seksual dalam haiwan, gamet (sperma dan ovum) akan bergabung dan mengembalikan bilangan kromosom, membentuk zigot diploid.
Meiosis menghasilkan variasi genetik pada setiap generasi. Proses meiosis penting untuk mengekalkan bilangan kromosom diploid dari satu generasi ke generasi seterusnya. Meiosis dibahagikan kepada dua peringkat pembahagian sel iaitu:
Rajah 14 - 1. Semasa profasa I , kromatin memendek, menebal dan membentuk kromosom. Kromosom homolog berpasangan membentuk bivalen/tetrad melalui proses sinapsis. Proses pindah silang boleh berlaku di mana-mana lokasi atau beberapa lokasi di kromosom di mana pertukaran bahan genetik antara kromatid-kromatid bukan seiras berlaku. Tempat di mana kromatid bersilang dipanggil kiasma. Pada akhir profasa I, nukleolus dan membran nukleus menghilang. Sentriol bergerak ke kutub sel bertentangan. Gentian gelendong terbentuk.
Rajah 15 - 2. Semasa metafasa I , kromosom homolog tersusun sebelah menyebelah di satah khatulistiwa. Setiap kromosom daripada kromosom homolog terikat pada gentian gelendong dari kutub sel bertentangan. Sentromer masih belum berpisah.
Rajah 16 - 3. Anafasa I bermula apabila kromosom homolog ditarik ke kutub sel bertentangan. Setiap kromosom masih terdiri daripada sepasang kromatid kembar yang bergerak sebagai satu unit.
Rajah 17 - 4. Semasa telofasa I , kromosomm tiba di kutub sel bertentangan. Setiap kutub sel mempunyai bilangan kromosom haploid (4 kromosom menjadi 2 kromosom). Gentian gelendong menghilang. Nukleolus dan membran nukleus terbentuk dalam setiap sel anak baharu.
Rajah 18 - 5. Dalam profasa II , membran nukleus dan nukleolus menghilang. Gentian gelendong terbentuk dalam setiap sel anak. Setiap kromosom terdiri daripada kromatid kembar yang bercantum di sentromer.
Rajah 19 - 6. Dalam metafasa II , kromosom tersusun secara rawak di satah khatulistiwa. Setiap kromatid terikat pada gentian gelendong di sentromer. Metafasa II berakhir apabila kromatid kembar berpisah di sentromer.
Rajah 20 - 7. Dalam anafasa II , sentromer kromatid kembar berpisah. Sekarang, kromatid kembar dikenali sebagai kromosom. Kromosom individu bergerak ke kutub sel bertentangan.
Rajah 21 - 8. Akhirnya di telofasa II , nukleolus dan membran nukleus terbentuk semula. Gentian gelendong menghilang. Sitokinesis bermula dan menghasilkan empat sel anak yang haploid. Setiap sel haploid mempunyai separuh daripada bilangan kromosom sel induk. Kandungan genetik juga berbeza dengan sel induk. Sel haploid ini menjadi gamet.
Answer practice questions to test your knowledge
Join our community on Whatsapp!