Pengenalan kepada Biologi dan Peraturan Makmal

1.3 - Berkomunikasi dalam Biologi

Ahli penyelidik perlu berkomunikasi antara satu sama lain mengenai hasil-hasil kajian yang didapati. Kaedah komunikasi dalam sains sering melibatkan jadual, graf dan lukisan biologi.

Rajah 5

Rajah 5 - Jadual sering merupakan kaedah yang pertama sekali digunakan untuk mengumpul dan merekod data. Jadual kemudian boleh dijadikan panduan untuk memilih jenis ilustrasi yang sesuai untuk mengambarkan data kita nanti. Setiap eksperimen perlu mempunyai sekurang-kurangnya tiga pengulangan untuk memastikan ketepatan data kita.

Rajah 6

Rajah 6 - Graf garis digunakan untuk menggambarkan hubungan antara pemboleh ubah dimanipulasikan dan pemboleh ubah bergerak balas (bagaimanakah pemboleh ubah dimanipulasi mempengaruhi pemboleh ubah bergerak balas).

Rajah 7

Rajah 7 - Carta bar (carta palang) digunakan untuk membandingkan dua atau lebih kumpulan.

Rajah 8

Rajah 8 - Histogram boleh menunjukkan taburan data antara dua pemboleh ubah yang dikaji. Perbezaan antara histogram dan carta bar ialah histogram memaparkan data berterusan manakala carta bar memaparkan kumpulan data yang berlainan.

Lukisan Biologi

Lukisan biologi memberi gambaran tepat mengenai sesuatu spesimen yang diperhatikan. Ia merupakan lukisan pelan yang dilakukan dengan menggunakan pensil tanpa lukisan bayangan, lakaran atau perwarnaan. Berikut adalah beberapa ciri lukisan biologi yang mesti diingat.

  • Garisan yang dilukis mesti jelas, tajam dan berterusan.
  • Semua lukisan mesti mempunyai label dengan garis label yang lurus.
  • Garis label tidak boleh bersilang antara satu sama lain.
  • Semua lukisan mesti disertai dengan tajuk.
  • Strucktur lukisan mesti berada di kedudukan yang betul dan saiz yang berkadaran dengan struktur yang lain.
  • Factor pembesaran lukisan mesti dinyatakan.

Rajah 9

Rajah 9 - Pelan lukisan sel tumbuhan.

Satah, Keratan dan Arah

Struktur organisma yang diperhatikan boleh dibuat berdasarkan satah anatomi, keratan dan arah. Satah merupakan satu permukaan rata hipotetikal yang melintasi tubuh badan. Terdapat tiga satah utama iaitu satah sagital, satah frontal dan satal melintang.

Rajah 10

Rajah 10 - Satah sagital membahagikan tubuh badan kepada sebelah kiri dan kanan. Satah frontal pula membezakan bahagian depan dan belakang organisma. Satah melintang merujuk kepada pembahagian struktur kepada bahagian atas and bawah.

Keratan anatomi merupakan garis bayang yang melintasi sesuatu objek. Ia boleh dibahagikan kepada keratan rentas dan keratan membujur.

Rajah 11

Rajah 11 - Bayangkan sebiji pisang dipotong separuh, dari bahagian atas ke bawah (gambar atas). Ini menghasilkan keratan membujur pisang (separuh pisang panjang). Sekarang, kalau sebiji lagi pisang dibahagikan secara mendatar kepada bahagian atas dan bawah (gambar bawah), ini menghasilkan keratan rentas pisang (hasilnya pisang berbentuk bulat).

Kebanyakan lukisan anatomi memerlukan label dengan arah anatomi. Arah anatomi boleh membantu kita mengenal pasti orientasi organisma berkenaan. Manusia dan haiwan mempunyai label yang agak berbeza kerana perbezaan postur mereka.

Arah anatomi

  • Superior: Bahagian badan yang lebih tinggi atau menuju ke arah kepala. Contohnya, hidung adalah superior kepada mulut.
  • Inferior: Bahagian badan yang lebih bawah atau menuju kea rah kaki. Sebagai contoh, lubang hidung dapat dilihat dari aspek inferior hidung.
  • Anterior: Menuju ke arah depan jasad. Contohnya, hidung berada di bahagian anterior kepala.
  • Posterior: Menuju ke arah belakang jasad. Contohnya, bilah bahu terletak di bahagian posterior badan.
  • Dorsal: Dorsal mempunyai maksud yang sama dengan posterior kalau digunakan pada manusia. Dalam haiwan, ia menuju ke arah atas jasad. Contohnya, sirip dorsal ialah sirip menegak di bahagian belakang ikan.
  • Ventral: Ventral mempunyai maksud yang sama dengan anterior kalau digunakan pada manusia. Dalam haiwan, ia menuju ke arah bawah jasad. Misalnya, sirip ventral ialah sirip yang terletak di perut ikan.

Rajah 12

Rajah 12 - Arah anatomi pada manusia. Superior juga dikenali sebagai kranial (menuju ke arah kepala/tengkorak) manakala inferior juga bermaksud kaudal (belakang).

Rajah 13

Rajah 13 - Arah anatomi pada haiwan.

Answer practice questions to test your knowledge

Join our community on Whatsapp, Telegram and Discord!

WeAcademia Sdn Bhd © 2024