Biodiversiti

8.1 - Sistem Pengelasan dan Penamaan Organisma

Keperluan Sistem Pengelasan dan Penamaan Organisma

Taksonomi merupakan satu bidang biologi yang melibatkan pengelasan, pengecaman dan penamaan organisma berasaskan sistem yang teratur. Ini memudahkan rujukan dan perbincangan antara komuniti saintifik dengan maklumat yang sistematik dan teratur.

  • Pengelasan bermaksud organisma diklasifikasikan berdasarkan ciri yang diperhatikan berdasarkan sistem hierarki taksonomi.
  • Pengecaman bermaksud organisma dikenal pasti menggunakan kekunci dikotomi.
  • Penamaan bermaksud organisma dinamakan menggunakan sistem tatanama binomial.

Pengelasan Organisma

Sistem enam alam mengklasifikasikan semua organisma yang ada di dalam dunia. Sistem ini adalah berdasarkan jenis sel, bilangan sel dan jenis nutrisi organisma.

  1. Archaebacteria
  2. Eubacteria
  3. Fungi
  4. Protista
  5. Plantae
  6. Animalia
  • Prokariot merujuk kepada sejenis sel yang tidak mempunyai nukleus dan organel yang bermembran.
  • Eukariot pula merupakan sel yang mempunyai nukleus dan organel yang dikelilingi membran.
  • Heterotrof merupakan organisma yang tidak boleh mensintesis makanan sendiri, iaitu mereka perlu memperoleh makanan daripada organisma lain.
  • Autotrof pula merujuk kepada organisma yang boleh mensintesis makanan sendiri daripada bahan mentah tak organik.

Ciri Utama Organisma dalam Setiap Alam

Archaebacteria

  • Prokariot
  • Organisma unisel
  • Bakteria primitif
  • Autotrof atau heterotroph
  • Dinding sel tidak mempunyai peptidoglikan
  • Tinggal di kawasan yang sangat panas, berasid, masin atau persekitaran anaerob
  • Dikelaskan kepada 3 kumpulan berdasarkan habitat
    • Metanogen ialah bakteria anaerob obligat yang boleh dijumpai di kawasan paya dan saluran pencernaan haiwan ruminan serta manusia. Metanogen menghasilkan metana sebagai hasil sampingan metabolisme.
    • Halofil boleh didapati di kawasan yang sangat masin seperti di Laut Mati.
    • Termofil pula ialah bakteria yang boleh tahan suhu tinggi antara 60°C hingga 80°C seperti di Taman Negara Yellowstone, AS.
  • Contohnya Sulfolobus sp. (bakteria sulfur) dan Halobacterium salinarum

Archaebacteria

Eubacteria

  • Prokariot
  • Organisma unisel
  • Bakteria sebenar
  • Autotrof atau heterotroph
  • Dinding sel mempunyai peptidoglikan yang juga dipanggil murein (sejenis polimer hasil daripada gabungan gula dan asid amino)
  • Sitoplasma mempunyai ribosom dan plasmid tetapi tidak mempunyai organel bermembran seperti mitokondrion, jalinan endoplasma dan sebagainya
  • Dikategorikan berdasarkan bentuknya
  • Contohnya Streptococcus pneumoniae dan Vibrio cholerae

Eubacteria

Protista

  • Eukariot
  • Organisma unisel atau multisel
  • Autotrof atau heterotrof
  • Organisasi sel ringkas tanpa tisu khusus
  • Nukleus diselaputi membran dan organel bermembran
  • Boleh dibahagikan kepada 3 kumpulan iaitu protozoa, alga dan kulapuk lendir
  • Contoh protozoa termasuk Euglena sp., Amoeba sp. dan Paramecium sp.
  • Contoh alga ialah Chlamydomonas sp. dan Spirogyra sp.
  • Contoh kulapuk lendir ialah Physarum polycephalum

Protista

Fungi

  • Eukariot
  • Organisma unisel atau multisel
  • Heterotrof (saprofit atau parasit)
  • Dinding sel mengandungi kitin
  • Badan terdiri daripada jaringan bebenang hifa yang dipanggil miselium
  • Contohnya Saccharomyces cerevisiae (yis) dan Agarius sp. (cendawan)

Fungi

Plantae

  • Eukariot
  • Organisma multisel
  • Autotrof ( fotoautotrof )
  • Pembiakan secara aseks atau seks
  • Contohnya termasuk tumbuhan tanpa biji benih (paku pakis) dan tumbuhan berbiji benih (semua tumbuhan berbunga)

Plantae

Animalia

  • Eukariot
  • Semua haiwan multisel
  • Heterotrof
  • Kebanyakan haiwan boleh bergerak
  • Pembiakan secara seks
  • Contohnya invertebrata (tapak sulaiman) dan vertebrata (gajah)

Animalia

Hierarki Taksonomi

Sistem hierarki Linnaeus merupakan sistem hierarki dalam taksonomi. Pengelasan organisma bermula dari yang paling khusus iaitu spesies sehingga ke yang paling umum iaitu domain. Peringkat hierarki mengikut urutan adalah seperti berikut:

Rajah 1

Rajah 1 - Hierarki Taksonomi. Domain merupakan peringkat tertinggi dalam taksonomi organisma. Setiap alam boleh dikategorikan kepada kumpulan kecil yang dipanggil filum. Organisma kumpulan filum mempunyai ciri sepunya yang tertentu. Filum boleh dibahagikan lagi kepada kelas. Kelas dibahagi kepada order. Order boleh dibahagi lagi kepada famili , famili dibahagi kepada genus dan akhirnya spesies. Spesies sama boleh saling membiak.

Sistem Tatanama Binomial

Sistem binomial Linnaeus ialah sistem pemberian nama saintifik kepada organisma. Cara penulisan nama saintifik adalah seperti berikut:

  • Nama saintifik terdiri daripada dua perkataan. Perkataan pertama ialah nama genus diikuti dengan nama spesies.
  • Nama genus bermula dengan huruf besar manakala semua nama spesies berhuruf kecil.
  • Kedua-dua nama mesti dalam bentuk huruf italik atau digaris secara berasingan kalau ditulis dengan tangan.

Contohnya nama saintifik padi ialah Oryza sativa atau dalam tulisan Oryzasativa.

Kekunci Dikotomi

Kekunci dikotomi merujuk kepada alat yang digunakan oleh ahli taksonomi untuk mengecam organisma berdasarkan persamaan dan perbezaan. Kekunci dikotomi dibina dengan beberapa siri kuplet. Setiap kuplet terdiri daripada dua pernyataan tentang ciri-ciri organisma atau kumpulan organisma tertentu.

Kekunci ini adalah spesifik bagi setiap jenis pengecaman. Kekunci dikotomi adalah berbeza mengikut jenis organisma yang dikecam.

Kekunci Dikotomi

Answer practice questions to test your knowledge

Join our community on Whatsapp, Telegram and Discord!

WeAcademia Sdn Bhd © 2024