Gerak Balas dalam Tumbuhan
Fitohormon merupakan hormon tumbuhan yang merangsang dan menyelaras gerak balas dalam tumbuhan. Oleh kerana tumbuh-tumbuhan tidak mempunyai sistem saraf seperti manusia dan haiwan untuk mengawal atur gerak balas mereka, tumbuhan sangat peka terhadap rangsangan fitohormon walaupun pada kepekatan yang sangat rendah. Fitohormon disintesis di dalam organ tertentu dan diangkut ke bahagian sasaran melalui floem.
Fitohormon auksin mengawal gerak balas pertumbuhan tumbuhan.
Rajah 1 - Eksperimen di atas mengkaji kesan auksin terhadap pertumbuhan koleoptil di hujung pucuk tumbuhan. Hasil eksperimen I menunjukkan koleoptil kembali tumbuh tegak ke atas. Eksperimen II juga menunjukkan koleoptil tumbuh tegak ke atas. Eksperimen III pula menunjukkan koleoptil membengkok ke arah blok agar yang tidak tertutup. Eksperimen-eksperimen ini menunjukkan auksin merangsang pemanjangan sel di hujung koleoptil. Taburan auksin juga menjejaskan arah pertumbuhan pucuk. Taburan yang sekata akan menghasilkan pertumbuhan yang tegak ke arah atas. Bahagian pucuk yang menerima lebih banyak auksin akan memanjang ke arah sisi yang kurang atau tidak menerima auksin.
Rajah 2 - Rangsangan luar seperti cahaya dan tarikan graviti boleh mempengaruhi taburan auksin dalam tumbuhan. Auksin memberi kesan yang berbeza kepada tumbuhan bahagian yang berlainan seperti di pucuk dan akar tumbuhan. Graf di atas menunjukkan bahawa kepekatan auksin yang tinggi akan mendorong pemanjangan pucuk tetapi merencat pemanjangan di akar.
Arah gerak balas pucuk ditentukan oleh arah rangsangan cahaya. Sekiranya cahaya matahari adalah dari semua arah, taburan auksin di pucuk tumbuhan adalah sekata. Hasilnya, tumbuhan akan tumbuh tegak ke atas. Apabila cahaya datang dari satu arah sahaja, kepekatan auksin lebih tinggi di bahagian yang terteduh. Akibatnya, bahagian yang terteduh akan mengalami pemanjangan yang lebih berbanding dengan bahagian yang didedahkan cahaya. Oleh itu, pucuk akan membengkok ke arah cahaya tersebut. Ini merupakan contoh fototropisme positif.
Rajah 3 - Kesan auksin di hujung koleoptil terhadap gerak balas fototropisme.
- Tumbuhan sebagai kawalan. Kesannya, koleoptil tumbuh membengkok ke arah cahaya matahari.
- Hujung koleoptil dipotong dan menyebabkan tiada pertumbuhan berlaku.
- Hujung koleoptil ditutup dengan penutup legap. Selepas 2 hingga 3 hari, koleoptil tumbuh tegak ke atas.
- Hujung koleoptil ditutup dengan penutup lut sinar. Koleoptil tumbuh membengkok ke arah cahaya matahari.
- Tapak hujung koleoptil ditutup dengan objek legap. Koleoptil kekal tumbuh membengkok ke arah cahaya matahari.
- Hujung koleoptil telah diasingkan oleh blok agar. Koleoptil kekal tumbuh membengkok ke arah cahaya matahari.
- Hujung koleoptil telah diasingkan oleh mika. Akibatnya, tiada pertumbuhan berlaku. Auksin akan memberi kesan yang berlainan dalam gerak balas geotropisme. Auksin yang terkumpul di bahagian bawah pucuk dan akar kerana tarikan graviti. Akar menunjukkan geotropisme positif kerana tumbuh ke arah tarikan graviti (bawah) manakala pucuk menunjukkan geotropisme negatif kerana tumbuh ke arah melawan graviti (atas).
Rajah 4 - Kesan auksin di hujung pucuk dan akar tumbuhan terhadap gerak balas geotropisme. Di bahagian hujung pucuk, kepekatan auksin yang tinggi di bahagian bawah akan menyebabkan pemanjangan yang lebih cepat dan pucuk membengkok ke atas. Di hujung akar pula, kepekatan auksin yang tinggi di bahagian bawah merencat pemanjangan sel dan menyebabkan akar membengkok ke bawah.
Answer practice questions to test your knowledge
Join our community on Whatsapp!