Homeostasis dan Sistem Urinari Manusia

13.2 - Sistem Urinari

Struktur dan Fungsi Ginjal

Organ utama dalam sistem urinari ialah ginjal. Ginjal manusia mempunyai 2 zon utama iaitu korteks dan medula. Dua fungsi utama yang dilaksanakan oleh ginjal ialah perkumuhan dan pengosmokawalaturan. Fungsi-fungsi sistem urinari termasuk:

  • Mengawal keseimbangan air dan garam dalam badan
  • Mengawal tekanan osmotik dan kepekatan ion
  • Menyingkirkan bahan-bahan hasil buangan
  • Mengawal pH darah

Rajah 7

Rajah 7 - Sistem urinari manusia (kiri) dan keratan rentas ginjal (kanan).

Pembentukan Air Kencing

Unit berfungsi ginjal adalah nefron. Nefron terdiri daripada 3 bahagian utama:

  • Glomerulus
  • Kapsul Bowman
  • Tubul renal yang terdiri daripada tubul berlingkar proksimal, liku Henle, dan tubul berlingkar distal.

Rajah 8

Rajah 8 - Struktur nefron.

  1. Proses pembentukan air kencing bermula dengan ultraturasan dalam kapsul Bowman. Darah yang sampai di nefron adalah pada tekanan hidrostatik yang tinggi kerana diameter arteriol aferen yang lebih besar daripada diameter arteriol eferen. Ultraturasan berlaku apabila tekanan hidrostatik yang tinggi memaksa bendalir ke dalam kapsul Bowman. Bendalir yang meresap ke dalam kapsul Bowman dipanggil hasil turasan glomerulus. Hasil turasan glomerulus mempunyai komposisi bahan yang sama dengan plasma darah, tetapi tidak mempunyai sel darah merah, platlet dan protein plasma kerana molekul tersebut terlalu besar untuk meresap melalui arteriol aferen.
  2. Penyerapan semula berlaku apabila bahan terlarut meresap melalui dinding tubul renal ke dalam jaringan kapilari. Dalam tubul berlingkar proksimal , ion natrium (Na+) dipam ke dalam jaringan kapilari secara aktif manakala ion klorida (Cl-) meresap secara pasif. Penyerapan semula glukosa dan asid amino berlaku secara pengangkutan aktif. Pergerakan bahan terlarut ke dalam jaringan kapilari mengurangkan kepekatan bahan terlarut hasil turasan glomerulus tetapi meningkatkan kepekatan bahan terlarut dalam kapilari darah. Oleh itu, air meresap ke dalam kapilari darah melalui osmosis.
  3. Dalam liku Henle, air diserap semula secara osmosis manakala ion natrium diserap secara pengangkutan aktif. Dalam tubul berlingkar distal, lebih banyak air, ion natrium dan ion klorida diserap semula.
  4. Rembesan berlaku di tubul renal tetapi lebih aktif di tubul berlingkar distal. Rembesan merupakan proses perembesan bahan buangan dan bahan berlebihan yang pada awalnya tidak dituras ke dalam tubul renal. Rembesan berlaku melalui** resapan ringkas dan pengangkutan aktif**. Bahan yang dirembes termasuk ion hidrogen (H+), ion kalium (K+), ion ammonium (NH4+), urea, kreatinina, toksin dan dadah.
  5. Apabila bendalir renal sampai di duktus pengumpul, kebanyakan air akan diserap semula ke dalam aliran darah, hanya sedikit garam yang tinggal. Baki bendalir renal yang dikenali sebagai air kencing mengalir ke dalam duktus pengumpul. Sesetengah urea yang kecil dapat meresap ke dalam aliran darah. Air kencing mengandungi air, urea, garam NaCl, asid urik dan kreatinina. Dari duktus pengumpul, air kencing mengalir melalui ureter dan dikumpul dalam pundi kencing sebelum dikumuhkan.

Mekanisme Homeostasis dalam Pengosmokawalaturan

Badan kita selalu memperoleh dan kehilangan air setiap hari. Namun begitu, badan dapat mengekalkan kandungan air dalam badan secara berterusan. Proses ini dikenali sebagai pengosmokawalaturan. Pengosmokawalaturan dicapai dengan mengawal atur isi padu penghasilan air kencing dan perkumuhan melalui ginjal.

Mekanisme Homeostasis dalam Pengosmokawalaturan

Answer practice questions to test your knowledge

Join our community on Whatsapp!

WeAcademia Sdn Bhd © 2024